Projek Lebuhraya Pan Borneo Serusop–Pinturu Catat Kemajuan Lebih Awal

Projek Lebuhraya Pan Borneo Serusop–Pinturu Catat Kemajuan Lebih Awal

0
SHARE

TUARAN, 24 Sept – Projek Lebuhraya Pan Borneo Serusop–Pinturu sejauh 20.8 kilometer kini mencatat kemajuan yang lebih awal daripada jadual asal.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pembinaan di salah satu bahagian laluan berhampiran Kampung Penimbawan, Tuaran, hari ini.

“Saya berpuas hati dengan tahap kemajuan projek ini. Ia memberi keyakinan bahawa lebuh raya ini akan siap seperti dirancang, malah lebih awal,” katanya.

Projek bernilai RM465 juta itu bermula pada 20 Januari 2025 dan dijangka siap pada 19 Julai 2028.

Laluan ini merupakan jalan satu lorong dua hala yang akan menghubungkan daerah Tuaran dengan Kota Belud.

Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan sepanjang 682 meter sebagai sebahagian daripada pakej keseluruhan.

Semasa lawatan tersebut, Ketua Menteri turut menerima taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Datuk Philemon Lajawai bersama pegawainya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.