KOTA MARUDU: Dua buah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Batu 4, Jalan Sabit, di sini pagi Ahad, termasuk salah sebuah milik Pegawai Kanan Bomba Kudat, PPgB Thaddeus Boinon.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada jam 8.28 pagi menerusi MERS999.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu melibatkan 20 anggota bersama jentera tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati dua buah rumah jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya dengan keluasan 40×60 kaki dan 40×70 kaki.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah ofensif dengan dua aliran sepanjang 200 kaki serta empat pancutan menggunakan sumber air daripada water tanker,” kata seorang jurucakap.
Walau bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Operasi pemadaman dilaporkan terkawal pada jam 9.17 pagi dan tamat sepenuhnya pada 10.30 pagi.






