“Saya Cabar Shafie Jelaskan Gambar Bersama Agbimuddin” – Ainal Fattah

“Saya Cabar Shafie Jelaskan Gambar Bersama Agbimuddin” – Ainal Fattah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua UMNO Cawangan Pulau Bum-Bum, Datuk Ainal Fattah, mencabar Presiden Parti Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal, untuk menjelaskan secara terbuka mengenai sekeping gambar yang menunjukkan beliau bersama Agbimuddin Kiram, individu yang mengetuai sekumpulan 235 militan bersenjata untuk menceroboh Sabah atas arahan Jamalul Kiram III pada tahun 2013.

Menurutnya, gambar itu mengundang rasa syak wasangka orang ramai kerana insiden mengejutkan itu masih segar dalam ingatan kebanyakan rakyat Sabah.

“Saya mencabar Shafie untuk menjelaskan kepada rakyat apa urusan beliau bersama orang yang menjadi musuh negeri dan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Ainal, yang merupakan seorang peguam kanan kelahiran Semporna dan Setiausaha UMNO Zon Enam, berkata dakwaan mengenai perkenalan Shafie dengan Agbimuddin seperti yang ditunjukkan dalam gambar itu bercanggah dengan laungan perjuangan politiknya iaitu Sabah untuk rakyat Sabah.

“Beliau berkempen sepanjang Jelajah Warisan bahawa Sabah untuk rakyat Sabah. Tapi bagaimana pula gambar itu menunjukkan dia mempunyai hubungan mesra dengan lelaki yang dituduh menyebabkan kematian anggota polis dan tentera kita? Beliau perlu menjelaskan sepenuhnya perkara itu kepada rakyat,” katanya.

Agbimuddin mengetuai satu kumpulan yang menggelar diri mereka “Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara” yang dihantar oleh Jamalul Kiram III, salah seorang yang menuntut takhta Kesultanan Sulu.

Beliau merupakan adik kepada Jamalul.

Kiram III telah menyatakan bahawa objektif mereka adalah untuk menegaskan tuntutan wilayah yang belum selesai oleh Filipina ke atas Sabah.

Dipenghujung pencerobohan yang berlanjutan selama lebih sebulan di Kg Tanduo, Lahad Datu, sekitar 56 militan terbunuh bersama enam orang awam dan 10 anggota pasukan Keselamatan Malaysia.

Ainal yakin gambar itu adalah tulen dan beliau bersedia untuk ke mahkamah untuk membuktikannya, jika dicabar.

“Saya yakin gambar itu tidak dipalsukan,” katanya.

– HarianEkspress