KOTA KINABALU: Satu dialog antara Tentera Laut Israel dan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Tiago Avila, menyerlahkan perdebatan lama mengenai sama ada undang-undang antarabangsa benar-benar berfungsi sebagai undang-undang yang mengikat.
Dalam rakaman komunikasi radio, Israel memberi amaran flotilla agar menukar haluan dan mengancam akan merampas kapal melalui tindakan undang-undang.
Namun Avila menegaskan misi mereka adalah kemanusiaan, membawa bekalan makanan dan ubatan untuk Gaza, sambil menyifatkan sekatan Israel sebagai “genosid” yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Menurut analisis Marja Azlima Omar dari Universiti Malaysia Sabah, perdebatan ini sejajar dengan pandangan ahli falsafah undang-undang John Austin yang mendakwa undang-undang antarabangsa hanyalah “moraliti positif” kerana tiada kuasa berdaulat dunia yang boleh menguatkuasakannya.
“Israel bertindak sebagai sebuah negara berdaulat dengan kekuatan ketenteraan, manakala flotilla bergantung pada autoriti moral dan keputusan ICJ”.
Namun, katanya, perkembangan institusi global seperti ICJ, ICC dan PBB membuktikan undang-undang antarabangsa tetap berperanan mengikat negara melalui norma, reputasi dan tekanan diplomatik.
“Kes Gaza ini menunjukkan undang-undang antarabangsa bukan sekadar moral, tetapi suatu sistem peraturan yang mempengaruhi tingkah laku negara dan legitimasi tindakan mereka,” tambahnya.