PITAS: Golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga bakal menikmati manfaat tambahan apabila kerajaan negeri akan memperuntukkan 10 unit tambahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu menjadikan keseluruhan 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN bermula tahun hadapan, berbanding 40 unit pada tahun ini.
“Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tapi tahun ini kita bagi 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang susah.
“Tambahan 10 unit ini khusus untuk anak muda yang baru berkahwin kerana kita faham ramai masih tinggal bersama keluarga,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) di Kampung Taka, Pitas pada Sabtu.
Mengenai projek di Kampung Taka, Hajiji menyatakan keyakinannya bahawa projek itu bakal memberi impak besar kepada masyarakat setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan membuka ruang aktiviti perniagaan serta perkhidmatan.
Projek ini akan melibatkan pembinaan 320 unit rumah (rumah berkembar setingkat dan rumah teres setingkat) di atas tanah seluas 37.60 ekar milik LPPB.
Turut dibangunkan ialah 171 unit kedai terdiri daripada pejabat dua tingkat, superstore, showroom dan kiosk.
“Saya berharap projek melalui usahasama kerajaan dan swasta ini dapat dilaksanakan secara teratur dan menepati perjanjian yang telah dimeterai.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan sumber negeri difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Pada majlis itu juga, Hajiji mengumumkan beberapa projek pembangunan penting untuk daerah Pitas, termasuk, Pembinaan mini kompleks sukan Pitas, Pembinaan terminal bas awam bernilai RM1 juta, Rumah budaya di Dataran Pitas dengan kos RM1.4 juta.
Selain itu, beliau turut memberi perhatian terhadap projek ternakan udang kerjasama Yayasan Sabah yang terbengkalai agar dapat diaktifkan semula bagi merancakkan peluang pekerjaan dan ekonomi rakyat setempat.
Kerajaan negeri juga akan berbincang dengan SAFODA mengenai tanah yang dimohon oleh rakyat untuk dikeluarkan dari kawasan agensi berkenaan bagi tujuan pembangunan komuniti.
Dalam majlis yang sama, Ketua Menteri turut menyempurnakan penyerahan 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273.432 hektar, merangkumi:
228 geran tanah (Program Pengukuran Anak Negeri – Pantas) seluas 863.735 hektar, 239 geran tanah permohonan NT seluas 406.11 hektar, 1 geran tapak Balai Polis Pitas seluas 3.587 hektar.
Langkah memperkukuh perumahan mampu milik, pembangunan ekonomi dan infrastruktur di Pitas ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memastikan pembangunan seimbang di seluruh daerah termasuk kawasan luar bandar.






