KUDAT: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong, memulakan kempen pertamanya di Kampung Ayer, salah satu kampung tertua di kawasan ini, bersempena Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Sabah pada 29 November ini.
Tinjauan mendapati lebih 300 penduduk memberikan sokongan positif kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, dengan harapan beliau terus diberi mandat untuk mengekalkan kesinambungan khidmatnya serta membantu membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Kampung Ayer dipilih sebagai destinasi pertama selepas proses penamaan calon selesai pada Sabtu lalu.

Dalam sesi kempen dari rumah ke rumah, Ben Chong memaklumkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dijadual mengadakan lawatan ke kampung tersebut pada 25 November sebagai sebahagian daripada program pilihan raya.
Penduduk kampung turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas keprihatinan menyelesaikan pelbagai isu setempat, selain menzahirkan rasa puas hati terhadap pendekatan Ben Chong yang kerap turun padang membantu masyarakat.



Namun, beberapa penduduk turut mengambil kesempatan menyuarakan masalah yang memerlukan perhatian segera, termasuk isu pembuangan sampah, titi kayu rosak, serta permohonan Rumah Mesra SMJ.
Dalam satu kunjungan ke rumah penduduk, seorang makcik yang telah menunggu kedatangannya menyambut Ben Chong dengan penuh emosi sambil mengucapkan ringkas, “Thank you.”

Bagi seorang peniaga, Titih Jaleh, 54, Ben Chong dianggap menjalankan tugas dengan baik setakat ini. Beliau mahu kerajaan GRS dikekalkan untuk memastikan pembangunan dan perancangan di Sabah dapat diteruskan dengan lebih lancar.
“Mahu ganti kerajaan, tak perlu. Bagus satu kerajaan (GRS) sahaja, selamanya pun okay,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Ayer, Yusop Samat, 68, menyatakan rasa syukur kerana program kempen pertama itu berjaya merapatkan hubungan antara calon dan penduduk.
“Respon sebelum ini menunjukkan Datuk Ben Chong memang ambil berat kebajikan, bantuan dan apa-apa keperluan penduduk selama ini,” katanya.
Pada PRU17 Sabah kali ini, Ben Chong, calon nombor 8, berdepan cabaran 11 penjuru untuk mengekalkan kerusi DU Tanjong Kapor.
Mereka terdiri daripada Bonny Berman (SPP), Lee Sip Kim (BN), Abdul Rahim Madtaip (Bebas), Awang Karim Abdul Kadir (Anak Negeri), A Halim @ Abdul Halim Yussof (PBK), Jetol Dangin (PIS), Terence Au Soon Fui (Warisan), Shawn Davey Robert Lee (STAR Sabah), Verdon Bahanda (Bebas), dan Muhammad Affan Jumahat (PN).
Untuk rekod, Ben Chong mencatat rekod pilihan raya cemerlang dengan dua kemenangan berturut-turut dalam pilihan raya negeri Sabah.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018, Chong meraih 9,124 undi, menewaskan calon BN dengan majoriti 2,992 undi.
Dalam PRN 2020, beliau kembali mempertahankan kerusi sama dengan 7,206 undi, menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional dengan majoriti 1,879 undi.
Walau bagaimanapun, beliau meninggalkan WARISAN pada tahun 2023 dan kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), yang merupakan komponen dalam gabungan GRS.

Ben Chong menegaskan komitmennya untuk meneruskan khidmat rakyat, dengan fokus kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan, peluang perniagaan dan kebajikan masyarakat di kawasan luar bandar.






