LIBARAN: Calon GRS bagi DUN Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub menegaskan kempen politik harus dijalankan secara sihat dan berteraskan semangat perpaduan.
Beliau mengingatkan seluruh jentera parti agar mengekalkan budaya kempen yang harmoni tanpa menyerang atau menuding mana-mana pihak.
“Hala tuju kita di Sungai Sibuga ini adalah silaturahim, iaitu perpaduan. Itu amalan kita. Saya sudah maklumkan kepada rakan-rakan, biar kita berkempen secara sihat. Kita tidak perlu tuding-menuding mana-mana parti ataupun individu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni anak-anak muda sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah ke-17 di Madrasah Darus Salam malam tadi.
Hadir sama, Senator Datuk Anna Belle @ Suzieana Perian.

Menurut Amirshah, pendekatan itu selari dengan dasar kerajaan negeri dan pusat yang berteraskan perpaduan.
“Bersesuaian dengan kerajaan kita hari ini, kerajaan perpaduan, kerajaan negeri Sabah, Sabah Maju Jaya. Jadi kita tidak perlulah menuding mana-mana parti atau rakan yang bertanding,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga keharmonian masyarakat majmuk di Sabah.
“Kita di negeri Sabah ini hidup berbilang kaum dan agama. Kita akan berusaha mengekalkan sikap toleransi dan silaturahim,” katanya yang berpesan agar seluruh jentera dapat memupuk suasana kempen yang damai sepanjang tempoh pilihan raya.
Pada PRN Sabah kali ini, Amirshah berdepan saingan lima penjuru di kerusi iaitu membabitkan Ismail Md Said dari Parti Impian Sabah (PIS), Nurulalsah Hassan Alban (WARISAN), Norani Asmatil dari Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Suhaimi Nasir (BN).






