KOTA KINABALU: Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, menegaskan parti itu tidak akan menyertai kerajaan negeri GRS yang baharu dibentuk.
“Pendirian kami kekal. Sabah mesti diperintah oleh parti tempatan, bukan gabungan yang bergantung kepada pengaruh dari Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan media hari Ini.
Beliau menjelaskan pelantikan Datuk Mohd Ishak Ayub sebagai Timbalan Menteri adalah keputusan langsung Ketua Menteri, bukan hasil rundingan parti.
“Beliau adalah wakil rakyat Bingkor dan kami menghormati keputusannya menerima jawatan tersebut,” tambah beliau.
Dr Jeffrey menekankan Star akan bertindak sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.
“Kami akan menyokong dasar yang melindungi Sabah dan menentang sebarang langkah yang melemahkan MA63, Perlembagaan, atau perjuangan panjang Sabah untuk Sabahan,” tegas beliau.
Beliau menegaskan pendirian parti itu konsisten dan teguh, dengan sokongan terhadap kerajaan negeri yang sepenuhnya dibentuk oleh parti tempatan.
“Apa-apa yang kurang daripada itu akan melemahkan kuasa tawar-menawar Sabah dan masa depannya,” katanya.






