KOTA KINABALU: Pelakon terkenal, Shaheizy Sam Abdul Samad menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebagai seorang abang ipar yang sangat penyayang dan berbeza sama sekali daripada personaliti lantang beliau di Parlimen.
Sam yang juga adik kepada isteri Allahyarham, Datin Seri Zizie Izette, berkata beliau bergegas ke Sabah sebaik menerima berita pemergian Allahyarham pada awal pagi ini.
“Saya baru touchdown, terus datang ke sini. Semalam kami diberitahu keadaan arwah sudah teruk. Pagi tadi kakak (Zizie) maklumkan bahawa arwah telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui media.
Menurut Sam, Bung Moktar sudah menunjukkan keadaan kurang sihat sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Last saya jumpa, sehari sebelum mengundi. Setiap pilihan raya saya memang akan turun bantu. Masa itu sudah nampak dia tak seperti dulu kurang tenaga dan penat. Tapi berita semalam memang mengejutkan kami,” ujarnya.
Mengulas mengenai perwatakan Allahyarham, Sam berkata persepsi masyarakat terhadap Bung Moktar sebagai pemimpin tegas tidak mencerminkan dirinya sebagai ketua keluarga.
“Apa yang kita nampak di Parlimen, itu bukan dia di rumah. Nak dengar dia tinggi suara pun susah. Dengan anak-anak sangat lembut. Belasan tahun saya kenal, jarang nampak dia marah,” katanya.
Sam berkata Allahyarham seorang yang sangat bertanggungjawab kepada rakyat, terutama di kawasan yang diwakilinya, sehingga sanggup memenuhi permintaan penduduk tanpa mengira waktu.
“Kalau balik kawasan, orang nak jumpa jam 4 pagi pun dia akan jumpa. Dia tak pernah kata tidak. Memang kehilangan besar buat kami,” tambahnya.
Bagi Sam, pesanan Allahyarham mengenai kepentingan menjaga ibu menjadi nasihat paling bermakna yang kekal dalam ingatannya.
“Dia selalu ingatkan, kalau nak berjaya, jaga mak dulu. Itu yang akan saya pegang sampai bila-bila,” katanya sebak.






