PENAMPANG: Hampir 2,200 pelajar lelaki dan perempuan di sekitar daerah ini menerima manfaat Program Potong Rambut Percuma Ceasar’s Cut & Go yang berlangsung selama dua hari pada hujung minggu lalu, melibatkan 19 lokasi dari Kepayan hingga ke Nambazan.
Program itu merupakan program ‘back to school’ berskala besar yang pertama, selepas sebelum ini hanya dilaksanakan dalam skala kecil dan tertumpu kepada satu cawangan sahaja.
Ia dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Ceasar Mandela Malakun, Merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.
Beliau menekankan program itu sebagai inisiatif kebajikan kepada komuniti setempat.
“Pelaksanaan program memfokuskan kawasan padat penduduk dan kampung-kampung sekitar Penampang bagi memastikan bantuan disalurkan secara terus dan berkesan.
“Objektif utama adalah meringankan beban kewangan keluarga serta meningkatkan keyakinan pelajar menjelang sesi persekolahan baharu,” katanya.
Ibu bapa dan penjaga merakamkan penghargaan atas inisiatif ini yang disifatkan amat membantu, manakala pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan demi kebajikan pelajar dan kesejahteraan komuniti setempat.






