KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri komited memastikan Fasa 1B projek Lebuhraya Pan Borneo dilaksanakan dengan menganugerahkan kesemua baki 19 pakej kerja tahun ini seperti yang dirancang.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya (UMNO – Putatan) menjelaskan kaedah perolehan adalah secara tender prakelayakan terbuka.
“Hanya syarikat yang layak dijemput menyertai tender peringkat kedua. Ini akan mengurangkan masa untuk memproses dan menilai.
“Empat kontraktor telah dilantik dan telah memulakan kerja pembinaan sejak April 2024.
“Sebanyak 15 baki pakej kerja bagi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B kini dalam proses penilaian akhir tender pra-kelayakan terbuka.
“Pakej ini sedia untuk penilaian tender dan telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Beliau menjawab soalan ADUN Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee yang bertanyakan tindakan kerajaan negeri untuk mempercepatkan projek tersebut seperti yang diumumkan Perdana Menteri pada perayaan Kaamatan pada Mei.
Shahelmey berkata Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya Malaysia telah bermesyuarat pada Rabu (3 Julai) lalu dan akan menyerahkan senarai pemohon itu kepada Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan.
“Surat Setuju Terima kepada kontraktor dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.
“Secara keseluruhan, empat daripada 35 keseluruhan pakej bagi Fasa 1A dan 1B Projek Pan Borneo telah siap.
“Lima belas pakej sedang dalam pembinaan dan 16 pakej lain dalam peringkat perolehan,” katanya.