Gelandangan Kurang Siuman Maut Dilanggar Ketika Melintas Jalan Di Jalan Apas

Gelandangan Kurang Siuman Maut Dilanggar Ketika Melintas Jalan Di Jalan Apas

0
SHARE
Ipd
Proton Saga yang terlanggar mangsa ketika melintas jalan di Batu 9, Jalan Apas ( Sumber Foto: Ihsan IPD Tawau )

TAWAU, SABAH – Seorang lelaki gelandangan yang juga dikatakan kurang siuman maut apabila dilanggar sebuah Proton Saga ketika melintas jalan dalam kemalangan di Batu 9, Jalan Apas pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 10.15 malam.

“Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta, 28, sedang menghala ke Tawau dari Sandakan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian ketika sedang menuruni bukit berselekoh dengan keadaan agak gelap, tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas dari arah bahu jalan sebelah kiri.

“Situasi itu menyebabkan pemandu kenderaan tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Beliau meminta orang ramai atau individu yang mempunyai maklumat berkenaan mangsa agar tampil memberi keterangan di balai polis yang terdekat bagi membantu siasatan.

Siasatan masih diteruskan di bawah Seksten 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.