Metalverse Jadi Pentas Penyatuan Komuniti Metal & Punk Malaysia April Ini

Metalverse Jadi Pentas Penyatuan Komuniti Metal & Punk Malaysia April Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur bakal menjadi pusat tumpuan peminat muzik berat apabila festival Metalverse dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 30 April hingga 1 Mei ini di Megastar Arena Kuala Lumpur, sekali gus menyatukan komuniti metal dan punk tempatan dengan ekosistem antarabangsa dalam sebuah acara bertaraf global.

Dianjurkan Vox Nation Live, Metalverse diwujudkan sebagai platform khusus meraikan budaya metal dan punk yang dilihat bukan sekadar genre muzik, tetapi satu komuniti berteraskan kejujuran, tenaga dan kebersamaan peminatnya, dengan acara berlangsung dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata, penganjuran Metalverse lahir daripada keperluan mendesak komuniti tempatan yang selama ini kekurangan festival berskala besar yang benar-benar memberi fokus kepada genre metal dan punk.

Menurutnya, festival ini dirangka untuk memberi penghormatan sewajarnya kepada peminat serta menghubungkan mereka dengan dunia muzik berat global.

Pemilihan Megastar Arena Kuala Lumpur dibuat berdasarkan keseimbangan kapasiti, kualiti bunyi dan akses lokasi, bagi membolehkan pengalaman persembahan yang intim namun bertenaga, sejajar dengan keperluan produksi bertaraf antarabangsa.

Metalverse turut menampilkan barisan artis antarabangsa berimpak tinggi, antaranya Of Mice & Men dan Blessthefall, yang dipilih berdasarkan pengaruh, kualiti persembahan langsung serta permintaan tinggi peminat tempatan.

Menurut penganjur, festival ini bukan sekadar konsert, sebaliknya pengalaman menyeluruh meliputi produksi pentas profesional, pencahayaan dinamik, susunan jadual kemas dan suasana mesra pengunjung, bagi memastikan tenaga kolektif komuniti dapat dirasai sepanjang dua hari penganjuran.

Bagi memperkasa bakat tempatan, penganjur akan mengumumkan barisan artis tempatan lebih hampir dengan tarikh festival sebagai strategi membina momentum dan memastikan mereka disorot sebagai sebahagian penting naratif Metalverse, bukan sekadar pelengkap acara.

Vox Nation Live turut menyifatkan Metalverse sebagai langkah awal ke arah menjadikan Malaysia destinasi utama muzik berat serantau, dengan visi jangka panjang untuk mengembangkan festival ini sebagai acara tahunan yang dinanti peminat dan diminati artis antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur dalam peta muzik metal dan punk dunia.