Kesatuan bantah penubuhan anak syarikat dalam KTMB, tuntut penjelasan

Kesatuan bantah penubuhan anak syarikat dalam KTMB, tuntut penjelasan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menyuarakan bantahan terhadap penubuhan sebuah anak syarikat dikenali sebagai Tenang Capital Berhad (TCB) dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Presidennya, Muhammad Faizal Shahibul Kiraya berkata, penubuhan entiti berkenaan didakwa dibuat sekitar Julai 2025 dengan tujuan menguruskan aktiviti bukan teras seperti perkhidmatan tren sewa khas, pengiklanan, hartanah serta perkhidmatan nilai tambah dalam tren.

Katanya, keputusan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pekerja kerana didakwa dibuat tanpa penjelasan menyeluruh kepada pihak kesatuan.

“Sehingga kini, tiada penjelasan rasmi atau taklimat diberikan kepada kesatuan walaupun kami merupakan wakil sah pekerja KTMB,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kesatuan turut mempersoalkan sama ada penubuhan anak syarikat itu memberi manfaat langsung kepada KTMB dan pekerja, selain ingin mengetahui peranan sebenar entiti tersebut dalam struktur organisasi syarikat.

Dalam masa sama, katanya, kesatuan itu juga membangkitkan persoalan mengenai keputusan yang didakwa dibuat dalam tempoh singkat sebelum berlakunya perubahan kepimpinan tertinggi syarikat.

Menurutnya, situasi itu menimbulkan tanda tanya berhubung ketelusan serta pertimbangan dalam proses membuat keputusan berkenaan.

“Kesatuan berpandangan setiap keputusan besar perlu dibuat secara teliti dan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pekerja,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan aspek pengurusan kewangan dan tadbir urus melibatkan penubuhan syarikat berkenaan, termasuk isu pembayaran elaun kakitangan yang dipinjamkan serta sumber kewangan operasi.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa satu aduan rasmi telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung perkara berkenaan.

“Kami menuntut penjelasan penuh dan telus supaya sebarang kekeliruan dapat dirungkai,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Faizal menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hak, kebajikan serta masa depan pekerja KTMB.

Jelasnya, kesatuan itu berharap peranan KTMB sebagai pengendali utama pengangkutan rel negara terus dipelihara tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.