KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menggugurkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan hak 40 peratus Sabah, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025.
Beliau berkata, langkah menggugurkan rayuan dan melaksanakan perintah mahkamah itu penting bagi menghapuskan rasa sangsi rakyat Sabah terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Rakyat Sabah hanya mahu hak mereka dikembalikan dan dihormati. Jika hak istimewa setiap negeri dilaksanakan dengan adil, perpaduan negara dapat dipertahankan,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sidang Parlimen, pada Selasa.
Dalam perbahasan itu, Ewon turut meminta penjelasan mengenai status beberapa perkara yang dirujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, termasuk isu royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah, hak pelantar benua serta duti setem urus niaga tanah di Sabah dan Sarawak.
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap agenda reform nasional, namun menegaskan pelaksanaannya perlu merangkumi kepentingan Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan penuh MA63.
Menyentuh aspek ekonomi, Ewon menekankan keperluan sokongan lebih menyeluruh kepada Sabah sebagai wilayah strategik Asia Pasifik, termasuk melalui inisiatif BIMP-EAGA, pembangunan Ekonomi Biru, taman perindustrian, zon ekonomi khas serta projek infrastruktur utama.
Menurutnya, pelaksanaan semula hak 40 peratus Sabah amat penting bagi membiayai pembangunan infrastruktur, pembasmian kemiskinan, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan serta peluasan perkhidmatan awam di negeri itu.
“Rakyat Sabah telah bersuara dan akan terus bersuara. Di sebalik semangat Sabah First, jiwa rakyat Sabah terhadap Malaysia sangat besar kerana tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan terbentuk pada 16 September 1963,” katanya.






