KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick semalam telah meluangkan masa menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Melangkap Kapa yang mengakibatkan 10 rumah musnah sepenuhnya, manakala empat lagi mengalami kerosakan sebahagian struktur.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, beliau amat berdukacita atas kejadian tersebut dan berharap semua keluarga yang terjejas diberikan kekuatan serta dipermudahkan urusan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan ringkas kepada keluarga terlibat melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), selain memaklumkan bahawa Pusat Khidmat ADUN Kadamaian akan menyalurkan keperluan segera di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), termasuk bantuan pengangkutan bagi tujuan pemindahan.
“Dalam ketiadaan saya di kawasan kerana tugas rasmi kementerian, saya sentiasa meminta urusetia Pusat Khidmat dan UPPM Kadamaian membantu mangsa bencana seperti ini dengan kadar segera.
“Saya juga akan membantu mempermudahkan bantuan yang layak diterima daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Daerah Kota Belud telah mengisytiharkan bencana bagi membolehkan semua keluarga terlibat dipindahkan ke PPS di Melangkap bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.
Selain menziarahi mangsa kebakaran, Ewon turut mengambil kesempatan melawat beberapa pemohon bantuan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Tambatuon, Kampung Melangkap Tiong, Kampung Melangkap Baru, Kampung Purak Ogis dan Kampung Bahab.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton serta urusetia UPPM Kadamaian.






