KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan kerja naik taraf dan penyelenggaraan bernilai kira-kira RM90,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 1 petang dalam satu operasi yang dijalankan SPRM di sekitar bandar raya ini.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2025 dengan mengemukakan dokumen pesanan kerajaan, invois dan sebut harga syarikat yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pembekalan serta kerja naik taraf dan penyelenggaraan di jabatan tempatnya bertugas.
“Siasatan juga mendapati suspek dipercayai membuat lantikan terus kepada sebuah syarikat milik ahli keluarganya bagi mendapatkan suapan,” menurut sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.






