Armizan Tinjau Pencawang Elektrik Baharu Kg Takis, Bekalan Dijangka Stabil Menjelang Aidilfitri

Armizan Tinjau Pencawang Elektrik Baharu Kg Takis, Bekalan Dijangka Stabil Menjelang Aidilfitri

0
SHARE

PAPAR: Projek pembinaan pencawang elektrik baharu di Kampung Takis di sini yang telah siap pada 26 Februari lalu dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya awal April ini, sekali gus menyelesaikan isu kesusutan voltan yang telah lama dihadapi penduduk kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembinaan pencawang baharu itu dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai masalah kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V yang menjejaskan penggunaan elektrik di kediaman dan premis perniagaan sekitar kampung tersebut.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja mengganggu kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa kes menyebabkan kerosakan peralatan elektrik serta berisiko mengakibatkan litar pintas.

“Dengan beroperasi sepenuhnya pencawang baharu ini kelak, isu kesusutan voltan yang dihadapi penduduk dijangka dapat diatasi sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil serta menampung kapasiti penggunaan elektrik yang semakin meningkat di kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turun meninjau projek pembinaan pencawang tersebut sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin, Kampung Takis.

Beliau turut berharap penduduk di kawasan berkenaan dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil dan lancar.

Dalam pada itu, Armizan memaklumkan bahawa beberapa projek pembinaan pencawang elektrik baharu turut dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) di beberapa kampung lain dalam Parlimen Papar susulan aduan gangguan bekalan elektrik.

Katanya, pihak SE telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan projek pembinaan pencawang baharu di kampung-kampung yang mengalami gangguan bekalan yang ketara.

“Saya sendiri telah turun padang bersama kakitangan SE bagi meninjau pelaksanaan projek-projek ini serta memohon agar pembinaannya dapat disegerakan dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pada tahun lalu empat projek pencawang elektrik baharu di kawasan Papar telah siap dan mula beroperasi, iaitu di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang.

Sehubungan itu, Armizan menggalakkan penduduk yang menghadapi masalah sama agar menyalurkan aduan rasmi kepada pihak SE atau Pejabat Parlimen Papar bagi membolehkan semakan dan tindakan lanjut diambil.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak SE atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik terus diberi perhatian demi kesejahteraan masyarakat.