Penjual Rokok Seludup Serang Penguat Kuasa di Sandakan, G57 Desak Tindakan Tegas

Penjual Rokok Seludup Serang Penguat Kuasa di Sandakan, G57 Desak Tindakan Tegas

0
SHARE

SANDAKAN: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa tindakan tegas diambil terhadap seorang penjual rokok seludup yang dipercayai menyerang anggota penguat kuasa dalam kejadian di sekitar Pasar Batu 8, Sibuga Jaya, di sini, semalam.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, perbuatan menyerang anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas adalah satu kesalahan serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencabar kewibawaan undang-undang negara.

Menurut beliau, video kejadian yang tular di media sosial itu amat memalukan serta mencalar imej penguatkuasaan undang-undang.

“Perbuatan tersebut amat serius dan jelas mencabar kewibawaan undang-undang negara. Tindakan menyerang anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, keberanian individu terbabit bertindak agresif terhadap penguat kuasa menunjukkan seolah-olah undang-undang tidak lagi digeruni, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pihak yang terlibat dengan kegiatan haram.

Tambahnya, individu terbabit bukan sahaja dipercayai menjual rokok haram dan rokok seludup yang menyalahi undang-undang, malah sanggup bertindak ganas terhadap pihak berkuasa.

Menurutnya, keadaan itu memberi gambaran bahawa kegiatan rokok seludup di Sabah semakin berani dan berleluasa, malah penjualannya kini dilihat berlaku secara terbuka di banyak kawasan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan bersama Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan segera terhadap suspek yang terlibat.

“Mana-mana pihak yang menyerang anggota penguat kuasa mesti dihadapkan ke muka pengadilan tanpa kompromi,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar operasi penguatkuasaan secara besar-besaran dan berterusan dilaksanakan bagi membanteras sepenuhnya kegiatan rokok seludup di Sabah.