NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT – Penerbit muzik terkenal, Sean Combs atau lebih dikenali sebagai P Diddy akan dibicarakan pada 5 Mei 2025, atas pelbagai pertuduhan termasuk pemerdagangan seks, kata hakim pada Khamis.
Memetik sumber AFP, penyanyi rap itu kekal ditahan di penjara sepanjang perbicaraan, kata hakim persekutuan, Arun Subramanian.
Bulan lalu, Combs didakwa atas tiga pertuduhan jenayah termasuk mendera wanita secara seksual dan memaksa mereka ke pesta seks dengan dadah, dengan menggunakan ancaman dan keganasan.
Dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Combs sudah dua kali dinafikan ikat jamin kerana pendakwa raya menyuarakan kebimbangan mengenai gangguan terhadap saksi.
Semasa dia memasuki ruang mahkamah pada Khamis, Combs yang memakai baju dan seluar berkedut berwarna cerah kelihatan menyapa ibu dan anak-anaknya yang menghadiri prosiding kes itu.
Pendakwa raya Emily Johnson berkata, masih terdapat lebih banyak bukti untuk diterokai, dengan menyatakan bahawa 96 peranti elektronik, dirampas pada Mac dan ada kemungkinan lebih banyak pertuduhan.
Tuduhan semakin meningkat terhadap pemenang Grammy itu sejak tahun lalu, apabila penyanyi, Cassie yang nama sebenarnya Casandra Ventura, mendakwa Combs menyebabkan dia dikenakan paksaan lebih sedekad dengan kekerasan fizikal dan dadah, serta dirogol pada 2018.
Serangkaian tindakan undang-undang sivil yang serupa sejak itu menggambarkan Combs sebagai seorang lelaki ganas yang menggunakan status selebriti untuk menjadikan wanita sebagai mangsa.
Peguam berkata, lebih 100 orang yang mengatakan Combs menyerang atau mengeksploitasi mereka di mana sebahagian daripada mereka kanak-kanak – dan bercadang mengambil tindakan undang-undang.