KINABATANGAN: Lima individu cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah van penumpang jenis Toyota Hiace dan sebuah lori di Jalan Segaliud, Kinabatangan pada petang Selasa, dengan dua mangsa dilaporkan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan menerima panggilan kecemasan pada jam 2.48 petang melalui talian balai sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi sejauh 26 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Zia Hairil Hamzah berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukannya mendapati pemandu lori tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamat (rescue tools).
Seorang lagi mangsa, penumpang hadapan van penumpang, turut tersepit sebelum dikeluarkan dengan cara sama.
“Kesemua lima mangsa yang cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut di hospital berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.35 malam selepas memastikan keadaan di lokasi kemalangan selamat.
Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan perubatan KKM.






