TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Nurusaadah, Kampung Bolong Lama, di sini, pada Isnin.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 200 penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Majlis yang dianjurkan oleh Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) itu turut diserikan dengan pengisian tazkirah Ramadan sebelum diikuti dengan jamuan berbuka puasa.
Turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah bersama penduduk setempat yang hadir memeriahkan majlis tersebut.
Antara yang turut hadir ialah ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Haji Daya; ADUN Dilantik, Datuk Haji Abdul Kassim Haji Razali; Pengarah YKS, Datuk Hajah Diyanah Abdullah; Pegawai Daerah Tuaran, Encik Ibrahim Terki; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Naim Uddang serta Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad.






