Program Walkabout Polis Kota Kinabalu Saksikan 50 Hari Tanpa Kes Samun

Program Walkabout Polis Kota Kinabalu Saksikan 50 Hari Tanpa Kes Samun

0
SHARE
Chan
Chan (tengah) bersama Zaidi (dua kiri) pada program Pencegahan Jenayah di pusat bandaraya pada Ahad

KOTA KINABALU, SABAH – Kehadiran polis yang lebih kukuh di bandar ini menerusi program rondaan berjalan kaki (walkabout) berjaya mengelak kejadian sebarang kes samun sejak 50 hari lalu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin berkata bilangan kanak-kanak jalanan tanpa kerakyatan yang mengemis di sekitar bandar juga telah menurun.

“Polis tidak boleh mengambil tindakan terhadap kanak-kanak ini melainkan mereka melakukan jenayah, tetapi kehadiran polis sudah cukup untuk mereka melarikan diri.

“Sebelum ini ada misi rumah perlindungan yang diterajui oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.

“Saya rasa ia sesuatu yang baik serta berharap ia dapat diteruskan…Saya faham cabaran yang ditimbulkan dari sudut pembiayaan kepada kemampanan.

“Namun begitu, kalau setakat sediakan tempat berteduh sampai bila? Isu yang berlarutan ini tidak dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua hari.

“Bilangan kanak-kanak tanpa kerakyatan di bandar bukanlah pada kadar sifar tetapi itulah yang kami sedang usahakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata mereka tidak mengambil sambil lewa kejayaan 50 hari berturut-turut itu.

Beliau menganggap Zon B dari Kampung Air ke Mercure Hotel iaitu zon kedua dari tiga kawasan rondaan di pusat bandaraya ini sebagai kawasan selamat.

“Program walkabout ini terbukti dapat mengurangkan kadar jenayah. Polis mahu masyarakat berasa selamat dengan kehadiran kami,” katanya pada sidang media di Warisan Square pada Ahad.