TENOM, SABAH – Seorang wanita berusia 44 tahun maut selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang remaja ketika sedang turun bukit di Kilometer 6 jalan Tenom – Entabuan pada kira-kira jam enam petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tenom DSP Hasan Majid mengesahkan kejadian sambil mendedahkan identity mangsa sebagai Marry Guntar berusia 44 tahun.
Katanya, mangsa tercampak sejauh tiga meter ke tepi jalan mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kepala.
“Hasil sisasatan mendapati seorang remaja berusia 17 tahun memandu kenderaan terbabit dari Kampung Ponontomon menuju ke pekan Tenom.
“Ketika menuruni bukit dia melanggar pejalan kaki yang sedang berjalan di tepi jalan menuju ke arah yang sama,” kata Hasan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Tenom sementara kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hasan berkata kes juga akan disiasat lanjut di bawah Seksyen 26 (1) kerana memandu tanpa lesen.