Mini Estet Padi Tingkatkan SSL, Usahakan Tanah Terbiar – Jamawi

Mini Estet Padi Tingkatkan SSL, Usahakan Tanah Terbiar – Jamawi

0
SHARE

KOTA BELUD: Pendekatan mini estet padi akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi di Sabah di samping mengusahakan tanah-tanah terbiar di negeri ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pelbagai agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, sesi yang dipengerusikannya itu turut melibatkan Pengarah Bahagian Pertanian Kementerian Ekonomi Persekutuan, Datuk Zul Hadi Ahmad, serta agensi-agensi berkaitan sektor pertanian.

“Dalam sesi tersebut kita telah membincangkan cadangan untuk membangunkan kira-kira 2,000 hektar tanah terbiar melalui pendekatan mini estet,” katanya ketika ditemui media semasa melawat Pusat Pengeluaran Benih Padi Timbang Menggaris di sini, Selasa lalu.

Jamawi berkata pembangunan tanah terbiar melalui pendekatan mini estet itu dijangka dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.

“Dengan mini estet ini, insya-Allah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi, kita akan dapat membangunkan lebih banyak tanah-tanah terbiar.

“Yang penting, petani kita akan mendapat hasil selain dapat mengusahakan tanah yang sudah sekian lama terbiar tanpa penanaman dan tanpa pendapatan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah akan terus memberikan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkukuh pembangunan industri padi di negeri ini.

“Kita akan terus berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan industri padi Sabah,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Haji Musbah Haji Jamli; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Datuk Ts. Jifrin Hj. Mohamad; serta Pengurus Besar LPBS, Datuk Dr. Ramle Haji Kasin, bersama pegawai daripada Pelaksanaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta agensi di bawah MAFFI dan Kerajaan Persekutuan.