Permohonan ‘Stay of Execution’ Tidak Jejaskan Hak 40 Peratus Sabah – Mustapha

Permohonan ‘Stay of Execution’ Tidak Jejaskan Hak 40 Peratus Sabah – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah (stay of execution) berhubung tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah tidak menjejaskan prinsip hak negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, permohonan itu dibuat bagi memberi ruang kepada proses rayuan serta rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk diteruskan secara teratur.

Menurutnya, isu tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan terus diberi perhatian kerana ia menyentuh hak perlembagaan negeri.

Permohonan penggantungan ini tidak menjejaskan prinsip tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah, sebaliknya bertujuan memberikan ruang yang sewajarnya kepada kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan dan penelitian yang lebih terperinci berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mustapha berkata, selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025, Peguam Negara telah memfailkan Notis Rayuan pada 14 November 2025 terhadap sebahagian keputusan tersebut.

Selaras dengan itu, Kerajaan Persekutuan turut memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah di Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan.

Beliau berkata, sejak November 2025 beberapa siri mesyuarat telah diadakan melalui Jawatankuasa Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di peringkat pegawai bagi meneliti secara teknikal kaedah pengiraan serta pengesahan data hasil yang berkaitan.

“Dalam proses tersebut, Kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah bagi tempoh tahun 2007 hingga 2025, manakala usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu, khususnya bagi tempoh yang dikenali sebagai ‘The Lost Years’,” katanya.

Tambah beliau, perbincangan turut tertumpu kepada penentuan kaedah yang dipersetujui bersama dalam pengiraan pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.

Mustapha berkata, permohonan penggantungan itu juga penting bagi memastikan rundingan yang sedang berjalan dapat diteruskan secara teratur serta mengelakkan risiko prosiding pengkomitan (contempt of court) sementara menunggu keputusan rayuan.

Menurutnya, tempoh 180 hari berkaitan pelaksanaan perintah mahkamah dijangka tamat pada 15 April 2026, manakala tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan.

Permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah tersebut dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac 2026.

Dalam pada itu, Mustapha berkata pendirian Kerajaan Negeri Sabah dan Sabah Law Society (SLS) yang memilih untuk membantah permohonan stay of execution berkenaan wajar dihormati sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi dan perundangan negara.

“Namun demikian, saya percaya matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil,” katanya.