KOTA KINABALU: Penyelidik dari Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya merekodkan tiga spesies udang karang berduri (Panulirus spp.) dari perairan Sabah buat pertama kali, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai kawasan kepelbagaian biodiversiti marin bertaraf dunia.
Kajian yang diketuai oleh Penyelidik IMB, Profesor Madya Dr. Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei-Ling mengenal pasti tiga spesies iaitu Panulirus homarus homarus, Panulirus polyphagus dan Panulirus femoristriga dari perairan pesisir Sabah.
Daripada jumlah tersebut, dua spesies iaitu P. femoristriga dan P. h. homarus merupakan rekod baharu bagi Malaysia, manakala P. polyphagus pula merupakan rekod baharu bagi Sabah.
Menurut Chen, penemuan tersebut amat signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin negara selain menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah.
“Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus ornatus, P. versicolor dan P. longipes direkodkan di perairan Sabah sejak 2004. Penyelidikan ini telah menggandakan jumlah tersebut kepada enam spesies,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam kajian berkaitan, pasukan penyelidik turut merekodkan spesies Panulirus stimpsoni dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperluaskan senarai semak udang karang berduri di peringkat kebangsaan.
Chen berkata, penyelidikan tersebut dijalankan dalam keadaan mencabar ketika pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta akses terhad ke tapak lapangan dan komuniti nelayan.
“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, kajian ini berjaya menggandakan kepelbagaian udang karang berduri yang diketahui di Sabah, termasuk dua spesies yang merupakan rekod baharu bagi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor memuji kejayaan pasukan penyelidik yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam bidang sains marin serta mencerminkan kecemerlangan penyelidikan negara.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Dr. Chen dan Ng atas dedikasi serta ketabahan mereka dalam menjayakan penyelidikan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dekan IMB, Profesor Madya Dr. Faihanna Ching berkata penemuan tersebut turut mencerminkan kualiti dan kekuatan penyelidikan yang dilaksanakan di institut berkenaan.
Menurutnya, IMB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) telah dijenamakan semula kepada Institut Marin Borneo pada Januari 2026 dan kini memperluaskan fokus penyelidikan melalui penubuhan beberapa pusat penyelidikan baharu termasuk dalam bidang oseanografi.
Sementara itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Ken Kartina Khamis berkata penemuan tiga rekod baharu udang karang berduri itu menekankan kepentingan penyelidikan dan pendokumentasian berterusan terhadap sumber biologi negeri.
“SaBC telah memberikan Lesen Akses bagi kajian ini di bawah nombor rujukan permit JKM/MBS.1000-2/2 JLD.13 (152) dan (153). Kami menggalakkan lebih ramai penyelidik menjalankan kajian biodiversiti di Sabah bagi menyokong usaha pemuliharaan,” katanya.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Hj. Mustapha pula berkata penemuan tersebut penting dalam menyokong usaha pengurusan sumber perikanan negeri.
Menurut beliau, udang karang berduri merupakan kumpulan krustasea bernilai komersial tinggi dan peningkatan kepelbagaian spesies yang diketahui menunjukkan bahawa protokol pengurusan perikanan perlu dikemas kini.
“Jabatan Perikanan Sabah akan mengambil kira penemuan ini dalam pelan pengurusan masa hadapan dan berharap dapat terus bekerjasama dengan UMS,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim berkata penemuan tersebut memberikan justifikasi saintifik tambahan untuk memperkukuh strategi pemuliharaan di kawasan perlindungan marin utama seperti Taman Tun Mustapha dan Taman Tunku Abdul Rahman.
Beliau turut menyatakan komitmen Taman-Taman Sabah untuk terus bekerjasama dengan UMS dalam usaha memelihara dan melindungi biodiversiti marin negeri ini.
Sebelum ini, data mengenai kepelbagaian udang karang berduri di Sabah tidak dikemas kini sejak 2004. Peningkatan jumlah spesies yang direkodkan kini menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin berpotensi yang belum didokumentasikan di perairan pesisir dan pulau-pulau di negeri ini.
Pasukan penyelidik turut mencadangkan agar tinjauan biodiversiti diperluaskan melalui penggunaan teknologi molekul seperti environmental DNA (eDNA) serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti nelayan tempatan bagi memastikan sumber marin Sabah dapat diuruskan secara mampan untuk generasi akan datang.






