Lelaki Ada Masalah Kesihatan Mental Hilang Selepas ke Kebun di Tongod

Lelaki Ada Masalah Kesihatan Mental Hilang Selepas ke Kebun di Tongod

0
SHARE

TONGOD: Seorang lelaki yang mempunyai masalah kesihatan mental dilaporkan hilang selepas keluar ke kawasan kebun berhampiran Kampung Meliau, di sini, sejak pagi Ahad lalu.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Nizam Dahlan, 32, dilaporkan keluar ke kebun sekitar jam 11 pagi pada 15 Mac lalu sebelum gagal pulang ke rumah, menurut laporan yang dibuat oleh abang kandungnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.17 petang semalam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.25 malam selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 148 kilometer dan menjalankan operasi pencarian berdasarkan maklumat awal yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi bagaimanapun ditangguhkan pada jam 8.10 malam berikutan keadaan gelap selain kekangan liputan komunikasi di kawasan terbabit.

“Operasi akan disambung semula pada pagi esok bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih belum ditemui,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan tiga anggota dari BBP Kinabatangan diketuai PBK II Zia Hairil Hamzah dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Vigo.

Setakat ini, usaha mengesan mangsa masih diteruskan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.