Semarakkan Ramadan, 1,500 Pek BIS Diagih Kepada Petugas ‘Frontliners’ Sekitar KK

Semarakkan Ramadan, 1,500 Pek BIS Diagih Kepada Petugas ‘Frontliners’ Sekitar KK

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,500 pek Bingkisan Ihsan Sahur (BIS) diagihkan kepada petugas barisan hadapan ‘frontliners’ di lebih 14 lokasi sekitar daerah ini dalam usaha menyemarakkan amalan sahur pada penghujung Ramadan.

Exco Agama Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, agihan tersebut melibatkan beberapa lokasi utama termasuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Balai Bomba Lintas, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Alhamdulillah, malam ini atau pagi ini kita mengagihkan Bingkisan Ihsan Sahur yang akan disampaikan ke lebih 14 lokasi termasuk hospital, IPD dan bomba, melibatkan sebanyak 1,500 bakul ihsan makanan,” katanya ketika ditemui media pada program Bingkisan Ihsan Sahur di sini, pagi tadi.

Menurutnya, program itu dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).

Arifin yang juga Menteri KKTP berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu petugas yang bertugas pada waktu sahur, malah mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara agensi kerajaan dan organisasi terlibat.

“Tujuan kita adalah untuk bersama-sama menyemarakkan sahur di penghujung Ramadan, di samping menjalin muafakat dan mahabah antara agensi, khususnya antara agensi di bawah KKTP dan hal ehwal Islam dengan organisasi yang kita kunjungi,” jelasnya.

Tambahnya, pengagihan dilaksanakan oleh tiga pasukan bagi memastikan semua lokasi menerima sumbangan berkenaan dengan lancar.

Mengulas lanjut, Arifin berkata program tersebut merupakan julung kali diadakan dalam skala lebih besar, selepas sebelum ini pihaknya melaksanakan ziarah sahur di Pulau Gaya.

“Ini julung kali kita adakan dalam skala besar dan mudah-mudahan membawa keberkatan khususnya di penghujung Ramadan, di samping mengeratkan lagi kerjasama antara kita,” katanya.

Dalam pada itu, petugas IPK Sabah menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang disalurkan sendiri oleh Arifin.

Timbalan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Sabah, DSP Ku Azam Ku Abdullah berkata, sumbangan berkenaan amat bermakna buat anggota yang bertugas, khususnya dalam menjalankan tanggungjawab sepanjang masa.

“Kami daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Sabah mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri atas sumbangan program sahur ini.

“Kami amat berbesar hati dan menghargainya, khususnya kepada semua anggota kami yang bertugas 24 jam,” katanya.

Menurutnya, kehadiran pemimpin serta sumbangan yang diberikan bukan sahaja menyantuni kebajikan anggota, malah menjadi suntikan semangat untuk terus berkhidmat dengan dedikasi.

“Ini memberi semangat kepada kami untuk terus menjalankan tugas demi negara dan agama,” katanya.