Latar Belakang Keluarga Niko (Pelajar Sekolah Alternatif) Juga Tiada Dokumen Sah –...

Latar Belakang Keluarga Niko (Pelajar Sekolah Alternatif) Juga Tiada Dokumen Sah – PDRM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan latar belakang keluarga seorang remaja lelaki (Niko) yang ditahan di sebuah pusat beli-belah di sini turut tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berusia 19 tahun itu bukan sahaja gagal mengemukakan dokumen sah, malah berasal daripada keluarga yang turut berdepan isu sama.

Menurutnya, suspek juga dikenal pasti sebagai pelajar di sebuah sekolah alternatif di kawasan Teluk Layan yang menempatkan pelajar tanpa dokumen diri.

“Susulan tangkapan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian pada 15 Mac lalu kira-kira jam 3 petang, sepasukan anggota Task Force dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan Ops Cegah Jenayah, Ops Lejang dan Ops Poket di kawasan One Borneo Mall, Jalan Sulaman.

Semasa operasi itu, suspek ditahan selepas gagal memberikan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah selain enggan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Syed Lot berkata, beberapa individu berkaitan turut dipanggil bagi membantu siasatan dan perbualan mereka telah dirakam.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 16 Mac 2026 dan arahan lanjut telah diterima termasuk pemeriksaan gigi bagi menentukan umur sebenar suspek serta mendapatkan laporan Jabatan Imigresen untuk pengesahan status,” katanya.

Tambah beliau, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 17 Mac 2026 dengan dua penjamin tempatan sementara siasatan lanjut dilengkapkan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta sentiasa mematuhi undang-undang dengan memastikan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.