TEHRAN: Iran mengesahkan ketua keselamatan negaranya, Ali Larijani, terbunuh dalam serangan udara Israel di ibu negara itu pada malam Isnin lalu, sekali gus menjadikannya antara tokoh tertinggi yang terkorban dalam konflik yang semakin memuncak di rantau berkenaan.
Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi Iran dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan Larijani, yang berkhidmat sebagai setiausaha majlis itu, maut bersama anak serta timbalannya dalam serangan berkenaan.
Larijani disifatkan sebagai antara individu paling berpengaruh di Iran dan orang kepercayaan kepada pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Beliau juga merupakan antara tokoh kanan yang terbunuh sejak hari pertama konflik, yang turut menyaksikan serangan terdahulu mengorbankan kepimpinan tertinggi negara berkenaan.
Konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel kini dilihat berkembang menjadi krisis serantau yang semakin tegang tanpa sebarang petunjuk akan reda dalam masa terdekat.
Menurut seorang pegawai kanan Iran, pemimpin tertinggi baharu negara itu, Mojtaba Khamenei menolak sebarang cadangan rundingan atau gencatan senjata, sebaliknya menegaskan bahawa usaha damai tidak akan dipertimbangkan selagi AS dan Israel tidak ditewaskan serta mengakui kekalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Selat Hormuz yang menjadi laluan utama bagi hampir satu perlima perdagangan minyak dunia dilaporkan hampir lumpuh susulan ancaman Iran untuk menyerang kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan Israel.
Pada masa sama, AS berdepan tekanan susulan alasan yang dilihat tidak konsisten berhubung penglibatan dalam serangan ke atas Iran, selain isu perundangan yang masih dipersoalkan, termasuk peletakan jawatan Ketua Pusat Antikeganasan Nasional AS, Joseph Kent.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas pula menyatakan bahawa tiada negara bersedia mempertaruhkan keselamatan rakyat masing-masing bagi melindungi laluan Selat Hormuz dalam situasi semasa.
Sementara itu, harga minyak global dilaporkan meningkat kira-kira 45 peratus sejak konflik bermula, susulan serangan berterusan Iran terhadap kemudahan minyak di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Program Makanan Sedunia (WFP) turut memberi amaran bahawa puluhan juta penduduk berisiko berdepan kebuluran akut sekiranya konflik berlanjutan sehingga Jun depan.






