Bekalan Beras Sabah Mencukupi, Pengguna Tidak Perlu Panik – Jamawi

Bekalan Beras Sabah Mencukupi, Pengguna Tidak Perlu Panik – Jamawi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekalan beras di Sabah adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyat, sekali gus menafikan kebimbangan kekurangan stok seperti yang tular di beberapa daerah pedalaman.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, setakat ini stok simpanan beras negeri (stok pail) mampu bertahan sehingga enam bulan.

“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa memantau rapi keadaan bekalan makanan asas dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik.

Dalam masa sama, Jamawi berkata arahan telah dikeluarkan bagi mempercepatkan penghantaran bekalan beras putih import (BPI) pada harga mampu milik ke kawasan terjejas termasuk Keningau, Sook, Tenom, Kemabong dan Sipitang.

“Semoga bekalan beras akan pulih seperti sediakala. Saya menyeru orang ramai supaya mengelakkan pembelian panik,” katanya.

Terdahulu, pemantauan oleh Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr Ramle Kasin bersama pegawai BERNAS Sabah di Pusat Simpanan Kolombong mendapati bekalan beras berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

Tinjauan terkini turut mendapati bekalan beras telah mula diedarkan ke premis-premis peruncitan di Tenom, Kemabong, Sook dan Keningau.

Di Tenom sahaja, sebanyak 53 tan beras telah memasuki pasaran melalui pengedar BERNAS iaitu 30 tan oleh PPK Tenom dan 23 tan oleh Sazarice.

Secara keseluruhan, pergerakan stok ke daerah berkenaan menunjukkan bekalan adalah mencukupi dengan kerjasama pemborong yang aktif menghantar bekalan ke premis sekitar.

Hasil pemantauan juga mendapati situasi pembelian panik telah reda dan kembali terkawal.

Berdasarkan data semasa, keperluan bulanan beras di kawasan terlibat adalah sekitar 470 metrik tan (MT), dengan purata penggunaan harian sebanyak 16 MT.

Sebanyak 70 MT atau 15 peratus daripada keperluan bulanan telah dihantar hari ini, melebihi keperluan harian, sekali gus mengukuhkan jaminan bahawa bekalan beras kekal stabil.