Fleksibiliti Kerja di Sabah: Fahami Tiga Perubahan Utama di Bawah AKF –...

Fleksibiliti Kerja di Sabah: Fahami Tiga Perubahan Utama di Bawah AKF – Pensyarah UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) di Sabah kini mempunyai garis panduan jelas di bawah pindaan Ordinan Buruh Sabah 2025, yang memperincikan hak dan tanggungjawab majikan serta pekerja termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR).

Pensyarah Hubungan Industri Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ash Sahimun berkata, AKF yang diperuntukkan di bawah Seksyen 120A dan 120B memberi ruang kepada pekerja memohon perubahan terhadap tiga aspek utama iaitu waktu kerja, hari bekerja dan tempat bekerja.

Menurutnya, bagi perubahan waktu kerja, pekerja boleh mencadangkan jadual baharu seperti 7.30 pagi hingga 4.30 petang atau 8 pagi hingga 5 petang, namun jumlah jam bekerja tidak boleh melebihi 45 jam seminggu seperti ditetapkan undang-undang.

“Bagi perubahan hari bekerja pula, pekerja boleh memohon untuk memampatkan waktu kerja kepada bilangan hari yang lebih sedikit, contohnya bekerja empat hari dengan tempoh masa lebih panjang setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, perubahan tempat kerja termasuk BDR hanya sesuai untuk jawatan tertentu dan tertakluk kepada keperluan operasi, khususnya bagi peranan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal di premis.

Ash turut menegaskan bahawa AKF bukan hak automatik, sebaliknya perlu dipohon secara rasmi oleh pekerja melalui permohonan bertulis kepada majikan.

“Majikan pula wajib memberi maklum balas dalam tempoh 60 hari sama ada meluluskan atau menolak permohonan tersebut dan keputusan itu juga perlu dimaklumkan secara bertulis,” katanya.

Beliau menyarankan agar komunikasi rasmi dibuat melalui emel atau surat bagi memastikan rekod jelas sekiranya timbul sebarang pertikaian pada masa hadapan.

Sekiranya permohonan diluluskan, pihak majikan melalui jabatan sumber manusia perlu mengeluarkan garis panduan atau notis rasmi mengenai aturan kerja baharu, manakala pekerja tetap tertakluk kepada semua polisi syarikat walaupun bekerja dari rumah.

“Pekerja masih perlu mematuhi disiplin kerja, bersedia menerima arahan dan melaksanakan tugas dalam tempoh waktu yang telah dipersetujui,” jelasnya.

Bagaimanapun, jika permohonan ditolak, beliau berkata tiada mekanisme khusus dalam ordinan untuk mencabar keputusan tersebut, namun pekerja boleh mengemukakan rayuan kepada majikan untuk pertimbangan semula.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa AKF bersifat sementara dan majikan berhak menamatkan atau menangguhkan pelaksanaannya bergantung kepada keperluan operasi semasa syarikat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan pelaksanaan bekerja dari rumah secara berperingkat dalam sektor awam serta menggalakkan sektor swasta mengambil pendekatan sama susulan situasi global semasa.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman turut menggesa majikan bersedia melaksanakan BDR bagi jawatan tidak kritikal.

Ash berkata, pemahaman menyeluruh terhadap AKF penting bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan dapat mewujudkan hubungan pekerjaan yang lebih seimbang serta harmoni di Sabah.