Yayasan Sabah Johan Perbarisan Hari Keputeraan Rasmi TYT, Raih 99 Peratus Markah

Yayasan Sabah Johan Perbarisan Hari Keputeraan Rasmi TYT, Raih 99 Peratus Markah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah mencatat pencapaian cemerlang apabila dinobatkan sebagai johan kategori badan berkanun/swasta sempena Istiadat Perbarisan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berlangsung di Padang Merdeka, hari ini.

Kemenangan itu diserlahkan lagi dengan pencapaian 99 peratus dalam penilaian keseluruhan, sekali gus mencerminkan tahap disiplin, komitmen tinggi serta semangat kerjasama dalam kalangan warga kerjanya.

Istiadat berkenaan disempurnakan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, yang hadir bersama Toh Puan Datuk Hajah Faridah Tussin.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, selain barisan kepimpinan tertinggi negeri serta anggota kabinet.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Dr Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja atas komitmen yang ditunjukkan.

Beliau berkata, penyertaan dalam perbarisan itu bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan, malah bertujuan memupuk disiplin tinggi dan semangat kerja berpasukan selaras dengan aspirasi organisasi yang menitikberatkan kecemerlangan dalam setiap tugasan.

Kontinjen Kumpulan Yayasan Sabah yang terdiri daripada 40 kakitangan tampil segak dengan busana berinspirasikan bendera Sabah dan Malaysia, dengan sokongan barisan pengurusan kanan yang turut hadir memberi semangat.