KEMBOJA: Parlimen Kemboja meluluskan rang undang-undang baharu bagi membanteras penipuan dalam talian, dengan hukuman sehingga 30 tahun penjara atau penjara seumur hidup terhadap dalang sindiket.
Seramai 112 ahli Parlimen yang hadir meluluskan rang undang-undang itu secara sebulat suara.
Di bawah peruntukan tersebut, ketua sindiket boleh dipenjara antara 15 hingga 30 tahun atau seumur hidup sekiranya kegiatan mereka menyebabkan kematian.
Dalang pusat operasi scam pula berdepan hukuman lima hingga 10 tahun penjara serta denda sehingga 1 bilion riel (kira-kira RM1.2 juta).
Hukuman meningkat kepada 10 hingga 20 tahun dan denda sehingga 2 bilion riel (sekitar RM2.4 juta) jika melibatkan keganasan, penderaan, kurungan haram, pemerdagangan manusia atau buruh paksa.
Individu yang terlibat sebagai scammer boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun serta denda sehingga 500 juta riel (anggaran RM600,000).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kehakiman, Koeut Rith, berkata jenayah tersebut telah menjejaskan keselamatan awam serta mencalar imej Kemboja di peringkat antarabangsa.
Katanya, undang-undang itu akan meningkatkan keberkesanan usaha memerangi penipuan dalam talian serta memperkukuh kerjasama serantau.
Rang undang-undang berkenaan kini menunggu semakan Senat sebelum diperkenan Raja Norodom Sihamoni.
Dalam masa sama, Kemboja giat melaksanakan operasi besar-besaran untuk menghapuskan pusat scam menjelang April tahun ini.
Sejak operasi dipertingkatkan pada Jun 2025, lebih 30,000 suspek warga asing telah dihantar pulang, manakala lebih 210,000 individu dilaporkan meninggalkan negara itu secara sukarela.
Berdasarkan laporan Wisma Putra dan media tempatan, lebih 533 rakyat Malaysia telah diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Asia Tenggara sejak 2021.






