Warga Asing, 63 Tahun Ditahan, Terlibat Kes Pecah Masuk Bengkel

Warga Asing, 63 Tahun Ditahan, Terlibat Kes Pecah Masuk Bengkel

0
SHARE
Foto: Ihsan PDRM Tawau...

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah bengkel kenderaan di Kampung Tanjung Batu Tengah, Jalan Bukit Kukusan, Tawau, 21 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.15 pagi pada Jumaat lalu di sebuah premis yang menyimpan dan menjalankan perniagaan barangan terpakai serta besi buruk di Jalan Damai, Tawau.

“Tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan laporan yang diterima daripada pemilik bengkel mengenai kejadian pecah masuk tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut ACP Jasmin, semakan rekod mendapati suspek warga asing berusia 63 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun polis sedang menyiasat sama ada dia terlibat dalam mana-mana kes lain sebelum ini.

“Polis juga turut menahan rakan sejenayah suspek pada 12 Februari lalu, yang dipercayai turut terlibat dalam kes pecah masuk bengkel kenderaan tersebut. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan kedua-dua suspek dalam kegiatan jenayah ini,” tambahnya.

Selain itu, suspek juga turut menunjukkan lokasi barang yang dicuri dan disimpan di sebuah premis yang menyimpan dan menjalankan perniagaan barangan terpakai serta besi buruk di Batu 5, Jalan Apas.

Tambahnya, Polis turut merampas sembilan buah bateri kenderaan pelbagai jenama dan satu keping resit pembelian tunai (cash purchase) yang dipercayai berkaitan dengan kes yang disiasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ujarnya, beliau turut menasihatkan pemilik premis supaya mengambil langkah keselamatan tambahan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengukuhkan sistem keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.