70 Cawangan UMNO Kota Kinabalu Lapor Isu Penyelewengan Ahli Kepada RoS

70 Cawangan UMNO Kota Kinabalu Lapor Isu Penyelewengan Ahli Kepada RoS

0
SHARE
Umno
Zulfikar (dua kanan) serta beberapa ahli lain selepas membuat laporan

KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa cawangan UMNO Kota Kinabalu telah membuat laporan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan keahlian.

Jurucakap 70 cawangan membabitkan lebih 10,000 ahli, Dr Zulfikar Zulkifli berkata, isu yang berlarutan tanpa penyelesaian jelas hanya menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab.

“Seseorang menukar nama kami untuk digunakan untuk cawangan yang berbeza walaupun telah mencapai kata sepakat semasa mesyuarat ahli jawatankuasa.

“Ini jelas melanggar perlembagaan parti. Sebagai contoh, sepatutnya ada lima wakil untuk Wanita UMNO namun hanya tiga nama yang dimasukkan.

“Dalam beberapa kes, nama ahli tertentu digugurkan daripada senarai. Bagaimana kita boleh membuat pilihan yang adil untuk kepimpinan parti apabila masalah mudah seperti ini pun boleh terlepas pandang?

“Laporan kepada RoS ini adalah pilihan terakhir kami dalam menuntut keadilan mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita di Wisma MAA, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zulfikar berkata beliau juga mendengar masalah serupa berlaku di cawangan lain dan mahu pihak berkuasa menangkap “penjenayah” yang terlibat.

Katanya terdapat 100 cawangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu dengan lebih 15,000 ahli.

“Saya boleh katakan ia satu jenayah terhadap ahli veteran. Kami mahu proses pemilihan yang sah. Dengan berbuat demikian, banyak cawangan memboikot pemilihan (parti) pada bulan Julai tetapi itu terpulang kepada RoS untuk membuat keputusan.

“Pada bulan Mei, jawatankuasa pusat UMNO turun untuk berbincang dengan ahli tetapi kami terkejut majlis tertinggi masih membisu mengenai isu ini,” katanya.

Bagaimanapun, Zulfikar berkata kesetiaan mereka adalah kepada UMNO.

“Perkara ini boleh dilaporkan lebih awal tetapi kita menunggu kempen pilihan raya enam negeri selesai dahulu.

“Perbalahan (dalam parti) tidak pernah baik. Ia hanya akan menghalang kemajuan. Kami hanya melaksanakan hak kami mengikut dasar sedia ada yang kukuh dan stabil,” katanya.