BEAUFORT: Tindakan seorang individu dipercayai cuba menyeleweng minyak diesel menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero terbongkar apabila diserbu dalam Ops Tiris 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort di sebuah stesen minyak, baru-baru ini.
Serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan anggota penguat kuasa yang mengesan pergerakan mencurigakan ketika kenderaan terbabit sedang mengisi diesel.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu telah diubah suai dengan tangki tambahan yang dianggarkan mengandungi kira-kira 200 liter diesel.
Menurutnya, pihak KPDN bertindak menyita kenderaan, minyak diesel serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Pemandu kenderaan telah dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis.
“Pada masa sama, nozel pam stesen minyak yang terlibat turut diambil tindakan penguatkuasaan dan dua laporan polis telah dibuat berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak.
Tambahnya, Ops Tiris 4.0 merupakan usaha berterusan KPDN dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api, bagi memastikan bekalan kekal stabil dan tidak disalah guna.






