Giant Stadium Shah Alam tampil konsep baharu, lebih selesa dan moden

Giant Stadium Shah Alam tampil konsep baharu, lebih selesa dan moden

0
SHARE

SHAH ALAM: Pasar raya Giant Stadium Shah Alam tampil dengan wajah baharu menerusi Majlis Pelancaran Semula yang berlangsung meriah hari ini, sekali gus menawarkan pengalaman membeli-belah lebih moden dan selesa kepada pengunjung.

Transformasi Giant Stadium Shah Alam bukan sekadar pembaharuan fizikal, malah melibatkan susun atur lebih teratur, ruang yang lebih terang serta persekitaran yang meningkatkan keselesaan pelanggan.

Konsep baharu ini memberi pengalaman membeli-belah yang lebih lancar dan menyeronokkan, selain menawarkan pelbagai pilihan produk dalam satu lokasi.

Antara tarikan utama ialah pembukaan ruang peruncitan berskala besar termasuk segmen fesyen dan tekstil Muslim, selain pengembangan outlet barangan keperluan rumah yang kini lebih luas dengan pilihan produk lebih pelbagai.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Mohd Najwan Halimi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif serta Pengurusan Bencana Selangor.

Turut hadir ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, selain wakil pengurusan tertinggi GCH Retail Malaysia Sdn Bhd iaitu Linda Phang dan Cheah Yong Hock.

Konsep baharu turut memperkenalkan elemen gaya hidup menerusi ruang pameran perabot dan kelengkapan rumah yang lebih premium, selain perancangan pembukaan farmasi tempatan bagi melengkapkan konsep ‘one-stop centre’.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, premis berkenaan yang telah beroperasi lebih dua dekad kini tampil dengan penambahbaikan menyeluruh termasuk susun atur lebih teratur serta kemasukan penyewa baharu.

“Giant Stadium Shah Alam ini antara pasar raya besar yang telah lama bertapak di Seksyen 13 dan kini melalui proses penambahbaikan ketara dari segi organisasi serta penawaran perniagaan yang lebih segar.

“Kita melihat usaha pembaharuan ini sebagai satu langkah positif untuk menarik semula minat masyarakat agar terus menyokong pasar raya tempatan di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Giant Stadium Shah Alam merupakan antara rakan strategik kerajaan negeri dalam pelaksanaan program baucar bantuan khususnya kepada golongan memerlukan.

“Setiap kali musim perayaan, kita menyediakan baucar kepada golongan kurang berkemampuan dan orang kurang upaya untuk membeli barangan keperluan di sini, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan juga pengusaha,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama seumpama itu mencerminkan pendekatan menang-menang antara kerajaan negeri, pemain industri dan masyarakat dalam merancakkan ekosistem ekonomi tempatan.

Bersempena pelancaran semula tersebut, pihak Giant turut menawarkan pelbagai promosi istimewa bermula 2 hingga 5 April ini, termasuk tawaran harga runtuh barangan keperluan harian bagi membantu pengguna menangani kos sara hidup.

Selain itu, kempen “Beli & Menang” yang sedang berlangsung sehingga 19 April turut memberi peluang kepada pelanggan memenangi hadiah menarik termasuk jongkong emas.

Inisiatif penambahbaikan itu selari dengan usaha kerajaan negeri dalam merancakkan aktiviti ekonomi tempatan serta memperkasakan sektor peruncitan.

Transformasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang.

Orang ramai diseru untuk hadir dan merasai sendiri pengalaman baharu yang ditawarkan di Giant Stadium Shah Alam yang kini tampil lebih segar dan kompetitif.