Cadangan Institut Jantung Negara Sabah Dimuktamadkan, MoU Dimeterai 6 April Ini –...

Cadangan Institut Jantung Negara Sabah Dimuktamadkan, MoU Dimeterai 6 April Ini – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Usaha mewujudkan cawangan Institut Jantung Negara (IJN) di Sabah semakin hampir direalisasikan apabila Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara dijadual dimeterai pada Isnin, 6 April ini di Kota Kinabalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkembangan itu susulan perbincangan lanjut yang diadakan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar selepas Mesyuarat Khas Menteri Besar/Ketua Menteri (MBKM) semalam.

Selesai Mesyuarat Khas MBKM semalam, saya sempat bersama dalam perbincangan di antara Ketua Menteri dan Ketua Setiausaha Negara berhubung penyelarasan cadangan pewujudan Cawangan IJN di Sabah.

Dengan kerjasama semua pihak, diharapkan ikhtiar mewujudkan IJN di Sabah akan dapat direalisasikan untuk kesejahteraan rakyat sekali gus mengurangkan beban warga Sabah yang terpaksa ke Kuala Lumpur setiap kali bagi memenuhi keperluan mendapatkan rawatan di IJN,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja akan memperluas akses rawatan jantung kepada rakyat Sabah, malah menjadi langkah penting dalam meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Dalam pada itu, Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah atas komitmen merealisasikan usaha berkenaan.

“Besar harapan kepada Yayasan Sabah menyempurnakan hasrat murni ini. Tahniah setelah berpuluh tahun memaknai amanah bidang pendidikan, kini Yayasan Sabah akan memanjangkan khidmat bakti dalam bidang kesihatan,” ujarnya.