Maybank Nasihat Kemas Kini Aplikasi MAE Sebelum 11 April Untuk Akses Berterusan...

Maybank Nasihat Kemas Kini Aplikasi MAE Sebelum 11 April Untuk Akses Berterusan Tanpa Gangguan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Berhad (Maybank) mengingatkan semua pelanggan supaya mengemas kini aplikasi MAE ke versi terbaharu, 0.9.45, sebelum 11 April 2026 bagi memastikan akses berterusan kepada perkhidmatan perbankan digital mereka.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Maybank memaklumkan langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan serta melindungi pengalaman perbankan dalam talian pelanggan.

Menurut bank itu, pelanggan yang gagal melakukan kemas kini sebelum tarikh ditetapkan tidak lagi dapat mengakses aplikasi MAE selepas 11 April 2026.

“Jika anda sudah menggunakan versi terkini aplikasi MAE, tiada tindakan lanjut diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Bagi mengemas kini aplikasi, pelanggan boleh melakukannya melalui platform rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery dengan mencari “MAE by Maybank2u” dan memilih pilihan kemas kini.

Selain itu, pelanggan juga boleh menyemak versi aplikasi sama ada melalui gedung aplikasi berkenaan atau terus dalam aplikasi MAE di bahagian ‘Settings’ di bawah menu ‘About’.

Maybank turut menasihatkan pelanggan supaya memastikan aplikasi sentiasa dikemas kini bagi mengelakkan gangguan akses serta menjamin keselamatan transaksi.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Maybank di talian 1-300-88-6688 atau melalui e-mel di mgcc@maybank.com.