KKN24 Social League 2026 Medium Satukan Belia di Tanjung Keramat – Shah...

KKN24 Social League 2026 Medium Satukan Belia di Tanjung Keramat – Shah Alfie

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjuran KKN24 Social League 2026 dilihat sebagai medium penting dalam menyatukan golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Tanjung Keramat melalui aktiviti sukan, khususnya bola sepak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, liga sosial tersebut bukan sekadar platform untuk mengejar kemenangan atau ganjaran berbentuk wang, sebaliknya menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.

“Objektif utama penganjuran ini adalah untuk menyatukan golongan belia, membina semangat berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat.

“Kemenangan hanyalah bonus, sebaliknya nilai sebenar terletak pada perpaduan dan kebersamaan yang terjalin sepanjang liga ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, liga berkenaan akan berlangsung selama empat bulan dengan penyertaan lapan pasukan, di mana juara akan menerima piala dan pingat, manakala naib juara serta tempat ketiga masing-masing akan menerima pingat.

Dalam masa sama, Shah Alfie yang juga wakil rakyat muda menegaskan komitmennya untuk terus menyokong lebih banyak program berteraskan pembangunan belia pada masa akan datang, selari dengan usaha melahirkan generasi yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing.

Tambahnya, sambutan menggalakkan yang diterima bagi edisi pertama KKN24 Social League 2026 memberi isyarat positif untuk penganjuran diteruskan sebagai platform tahunan bagi komuniti setempat.