KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong langkah Kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi bahan api di Sabah dan Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap keperluan pembangunan serta sumbangan kedua-dua negeri kepada negara, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurutnya, subsidi berkenaan penting memandangkan Sabah dan Sarawak masih berdepan cabaran dari segi infrastruktur serta kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding negeri di Semenanjung.
“Subsidi ini wajar diteruskan kerana ia mengambil kira keadaan infrastruktur di Sabah yang masih belum setanding dengan Semenanjung serta peratusan penduduk miskin yang masih tinggi,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Beliau berkata, ramai pihak terlepas pandang bahawa Sabah dan Sarawak merupakan antara penyumbang utama hasil minyak dan gas negara, sekali gus memainkan peranan besar dalam pembangunan Malaysia.
“Jika dilihat dari sudut sumbangan hasil minyak, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada kekayaan negara. Maka tidak salah jika subsidi ini diteruskan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Masidi berkata isu subsidi bahan api perlu dilihat secara menyeluruh memandangkan ia turut dipengaruhi faktor global termasuk konflik antarabangsa yang memberi kesan kepada harga minyak dunia.
“Kita berharap konflik global seperti perang dapat diselesaikan segera kerana ia akan memberi kesan kepada kemampuan kerajaan menanggung subsidi. Ini adalah isu global yang turut memberi tekanan kepada banyak negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri kini sedang menilai keperluan intervensi terhadap projek pembangunan berikutan peningkatan kos akibat kenaikan harga minyak.
Menurutnya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di peringkat Kementerian Kewangan Sabah bagi menilai semula komitmen kewangan serta impak terhadap pelaksanaan projek.
“Kabinet telah meminta Kementerian Kewangan melihat aspek projek yang mungkin terjejas dan mempertimbangkan keperluan intervensi agar projek dapat disiapkan mengikut perancangan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa tanpa penyesuaian kos, terdapat risiko projek infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air tergendala, sekali gus menjejaskan manfaat kepada rakyat.
“Matlamat utama kita adalah memastikan projek dapat disiapkan. Jika tiada intervensi, projek mungkin terbengkalai dan ini akan memberi kesan besar kepada rakyat,” katanya.
Masidi turut menyeru rakyat agar memahami situasi semasa dan melihat langkah kerajaan secara positif dalam menghadapi cabaran ekonomi global.






