KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Azizah Mohd Dun, menegaskan hak 40 peratus Sabah tidak boleh dilengah-lengahkan walaupun mahkamah mengeluarkan ‘stay of execution’.
Beliau menyifatkan penangguhan rundingan sebagai kegagalan politik menghormati hak yang termaktub dalam Perlembagaan.
“‘Stay’ bukan alasan untuk hentikan rundingan. Rundingan mesti berjalan tanpa henti,” tegasnya.
Azizah berkata rakyat Sabah sudah lama menunggu hak mereka, dan kegagalan menunaikannya dianggap pengabaian terhadap rakyat negeri ini.
Beliau menolak naratif bahawa subsidi diesel diberikan atas faktor politik semata-mata, menekankan bahawa hasil minyak Sabah dan Sarawak sepatutnya dinikmati oleh negeri sendiri.
Beliau juga menyeru penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah sejajar dengan keluasan negeri dan pertambahan keperluan rakyat, termasuk membuka ruang lebih besar bagi kepimpinan wanita.
“Perjuangan hak Sabah tidak akan berhenti. Ini soal maruah, hak, dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.






