Lelaki Lemas Ketika Mandi Sungai Ditemui Meninggal Dunia Selepas Operasi SAR Dua...

Lelaki Lemas Ketika Mandi Sungai Ditemui Meninggal Dunia Selepas Operasi SAR Dua Hari di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, ditemukan meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama dua hari.

Mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33, ditemui oleh orang awam pada jam 6.30 pagi tadi kira-kira 2.1 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.12 petang semalam sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati benar terdapat seorang mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai.

“Operasi SAR dijalankan di sepanjang pesisir sungai bersama penduduk kampung, namun mangsa tidak berjaya ditemukan pada hari pertama dan operasi ditangguhkan pada jam 8.15 malam berikutan faktor cuaca,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi disambung semula pagi tadi sebelum mangsa berjaya ditemui oleh orang awam.

Katanya, pasukan penyelamat kemudian menggunakan pengusung (stretcher) untuk membawa keluar mangsa dari lokasi penemuan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan tiga anggota PDRM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi selepas keadaan disahkan selamat.