50,000 Pengunjung Meriahkan Regatta Lepa Kali Ke-28

50,000 Pengunjung Meriahkan Regatta Lepa Kali Ke-28

0
SHARE
Lepa
Suasana semasa hari pertandingan Lepa Tradisi dan Moden ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SEMPORNA, SABAH – Seramai 50,000 pengunjung memeriahkan Regatta Lepa Kali Ke-28 Tahun 2023 yang berlangsung selama dua hari, bermula Jumaat.

Pada hari pertama, program dimulakan dengan acara Senam Sihat disusuli saringan pertandingan sukan laut seterusnya Majlis Perasmian dan Sangom Maglami-lami yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew mewakili Ketua Menteri Sabah.

Malam perasmian yang diadakan di Dataran Regatta Lepa tersebut turut menyaksikan pertandingan akhir “Budjang Manis” dengan 10 finalis dan empat peserta bagi pertandingan edisi pertama “Lalla Dorogan”.

Acara tahunan tersebut diteruskan dengan pertandingan akhir sukan air dan perarakan masuk Lepa Tradisi dan Moden pada hari kedua yang dihadiri oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Christina turut mewakili Ketua Menteri pada Malam Penangguhan Sambutan Regatta Lepa sekaligus menyampaikan hadiah bagi pemenang pertandingan sukan laut, pertandingan Sambulayang, pertandingan Lepa Tradisi dan Moden serta pertandingan “Lalla Dorogan” dan “Budjang Manis”.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis tempatan antaranya Lan Solo, Salmah, Dayang Nurazreen dan Den Bisa. — JABATAN PENERANGAN SABAH