Polis Penampang Rampas Cecair Vape Dadah, Syabu Dalam Tiga Serbuan

Polis Penampang Rampas Cecair Vape Dadah, Syabu Dalam Tiga Serbuan

0
SHARE
Vape
Sammy (kanan) menunjukkan rampsan cecair vape yang mengandungi dadah ( Sumber Foto: Ihsan IPD Penampang )

PENAMPANG, SABAH – Polis daerah ini merampas dadah sintetik termasuk cecair vape bernilai RM15,800 dalam tiga serbuan berasingan pada awal minggu ini.

Ketua Polis Supt Sammy Newton berkata serbuan pertama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daerah berlaku di sebuah pangsapuri pada tengah malam Ahad (1 Okt).

“Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan bersama rampasan dadah jenis syabu seberat 50.53 gram dan tiga biji pil Erimin 5 bernilai RM10,200.

“Turut dirampas ialah peralatan dadah dan bahan pembungkusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lelaki itu kemudiannya didapati positif dadah jenis syabu di samping mempunyai rekod sembilan kes lampau berkaitan dadah.

Sammy berkata, suspek berkenaan direman sehingga Rabu depan (18 Okt) mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan jika disabit kesalahan,” kata Sammy.

Serbuan kedua, dua hari kemudian berlaku di kawasan perumahan membabitkan seorang lelaki yang disyaki mengedar cecair vape yang mengadungi dadah.

Sammy berkata, suspek berusia 22 tahun itu memegang sebotol cecair tersebut ketika ditahan jam 10 malam.

“Soal siasat menyebabkan suspek membawa pasukan ke sebuah rumah di mana dua lagi lelaki, 29 dan 31, dipercayai rakan sejenayah ditahan.

“Empat lagi unit botol 10ml dirampas daripada mereka.

“Soal siasat lanjut membawa kepada satu lagi serbuan pada Rabu (4 Oktober) tengah malam di Kg Dumpil, Putatan.

“Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan bersama lima botol dan pemeriksaan lanjut di rumahnya menemui satu kotak berisi 21 botol.

“Kesemua suspek kemudian didapati positif untuk THC (ganja),” katanya.

Sammy berkata, sebanyak 31 botol dirampas bernilai RM5,600.

Katanya, hanya lelaki berusia 22 tahun itu memiliki rekod jenayah, iaitu enam juga berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Ibu bapa digesa memantau aktiviti anak-anak mereka supaya mereka tidak terjebak
dengan dadah.

“Orang ramai Penampang dan Putatan digesa untuk sentiasa menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dalam memerangi penyalahgunaan dadah bersama-sama,” katanya.