
KOTA KINABALU, SABAH – Kontinjen Persatuan Etnik Dusun Minokok Tompizos Sabah (PEDMTS) mengungguli Kategori Pertubuhan Etnik Sabah dalam Pertandingan Berjalan Lalu menerusi Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, sijil dan piala iringan yang disampaikan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Junainah Abbie.
Sementara itu, Kontinjen Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat memenangi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam, manakala Jabatan Perhutanan Sabah pula meraih Kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.
Turut diumum sebagai juara ialah Kontinjen Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk Kategori Swasta dan Komersil, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sabah (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan), Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (DARAT) SMK Badin Tuaran (Kategori Sekolah Menengah), Sekolah Rendah Pengiran Siti Hafsah Karambunai (Kategori Sekolah Rendah) dan Petronas Briged Kimanis Petroleum Training Centre (Kategori Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta).
Sebanyak 88 kontinjen mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung di Padang Merdeka dekat sini, pada Sabtu. — JABATAN PENERANGAN SABAH