Perikanan, Akuakultur Sumbang Lebih RM9 Bilion kepada KDNK Negara – Pemacu Ekonomi...

Perikanan, Akuakultur Sumbang Lebih RM9 Bilion kepada KDNK Negara – Pemacu Ekonomi Biru Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sektor perikanan dan akuakultur terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila menyumbang lebih RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku ketiga tahun lalu, sekali gus menjadi antara pemacu utama dalam agenda Ekonomi Biru Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu membuktikan potensi besar sektor berasaskan maritim dalam menyokong pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, inklusif dan mampan di negeri ini.

Beliau berkata, pendekatan Ekonomi Biru akan menjadi strategi utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dengan memanfaatkan kelebihan biodiversiti serta kedudukan strategik maritim Sabah merangkumi sektor perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi serta kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre, pada Khamis.

Menurutnya, sektor perikanan dan akuakultur turut mencatat pengeluaran melebihi 1.91 juta tan metrik dengan nilai kira-kira RM6.05 bilion, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, pelaksanaan Ekonomi Biru di bawah SMJ 2.0 diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun, selain membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri.

Mengulas pencapaian pembangunan, Hajiji berkata SMJ 1.0 (2021–2025) berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali dengan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh sebanyak RM6.76 bilion pada 2025,” katanya.

Tambah beliau, KDNK negeri turut meningkat kepada RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus menjadikan Sabah penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara, dengan unjuran pertumbuhan sekitar 1.5 peratus bagi 2025.

Katanya, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.

“Hala tuju ini turut diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah.

Beliau berkata, program itu menyediakan akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti serta membuka peluang jaringan perniagaan lebih luas kepada usahawan tempatan.

Sehubungan itu, Hajiji menyeru usahawan Bumiputera agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan termasuk meneroka sektor Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika diterokai secara strategik.