3,000 Tan Metrik Beras Tersadai di Stor Bernas, Tidak Diambil Pemborong –...

3,000 Tan Metrik Beras Tersadai di Stor Bernas, Tidak Diambil Pemborong – Jamawi

0
SHARE

TELUPID: Kira-kira 3,000 tan metrik beras yang telah dibayar masih tersadai di stor Bernas kerana tidak diambil oleh pemborong, sekali gus dikenal pasti sebagai antara punca gangguan bekalan di Sabah ketika ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, situasi itu menjejaskan kelancaran pengedaran bekalan di pasaran, selain mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna susulan pembelian panik.

“Saya minta pemborong menyediakan keperluan logistik seperti lori untuk mengeluarkan beras yang telah ditempah. Saya tidak mahu perkara ini menjadi satu bentuk sabotaj untuk menaikkan harga,” katanya ketika ditemui di ladang padi Trusan Sapi, di sini.

Menurutnya, kerajaan akan meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran, selain memastikan keperluan rakyat terus mencukupi.

Dalam masa sama, audit turut dilaksanakan terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyeludup bekalan beras subsidi selepas terdapat pihak gagal hadir dalam sesi soal siasat.

“Jika sabit kesalahan, pemilik lesen boleh dikenakan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara. Kita akan kuat kuasakan tanpa kompromi,” tegasnya.

Selain itu, kerajaan turut mengehadkan pembelian kepada dua kampit bagi setiap individu sebagai langkah kawalan sementara.

Jamawi menegaskan, tiada kenaikan harga berlaku kerana subsidi masih dikekalkan, selain memberi jaminan stok simpanan beras negeri mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan, terutama ketika harga beras di negara jiran meningkat akibat krisis global.